Anak Mama Bakal Doktor

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Syukur Allah mempermudahkan segalanya. Memberi aku segala-galanya apa yang aku perlukan. Mengkabulkan doa aku. Syukur atas segala nikmatmu ya Allah. Tidak ada sebab untuk aku tidak bersyukur. :)

Entry kali ini,aku tulis dengan linangan air mata.

Esok, 30 Jun 2012 hari sabtu merupakan hari yang penting dalam hidup aku. Merupakan hari pembukaan fasa baru dalam kehidupan aku. Esok merupakan hari dimana aku akan bergelar sebagai seorang mahasiswa. Hari dimana aku akan memulakan perjalanan dalam fasa IPT.

Siapa tidak gembira apabila melihat anak berjaya. Siapa tidak seronok apabila melihat anak bakal menjadi orang yang berguna. Ibu mana yang tidak gembira. Bapa mana yang tidak suka. Semuanya pasti akan berbunga-bunga hati apabila anak mereka bakal menjadi seorang yang berguna.

Ok,intro aku dah start meleret-leret. Baik terus ke point utama.hehe..

Sejak kecil lagi mak aku cakap,jadi la doktor,kalau sakit senang. Aku pun bercita-cita nak jadi doktor. Tiba-tiba kebelakangan ni mak aku suruh aku jadi ustaz pulak. Pulaaakkk..haha.. tapi aku terus dengan cita-cita aku untuk menjadi seorang doktor. Mak aku merestui hajat aku ni. (tapi dalam masa yang sama masih push2 suruh jadi ustaz) hehe..

Esok aku akan daftarkan diri di fakulti perubatan UPM untuk kursus persediaan selama 7 minggu sebelum aku akan fly ke mesir pada awal september ini. Ye,sangat gembira sebab satu kaki aku sudah masuk kedalam bidang kedoktoran. Ia juga bermakna selangkah aku maju untuk mencapai cita-cita aku. :’)

Masalahnya..

Esok pendaftaran pukul 10-2 petang. Pukul 4 macam tu ada taklimat ibu bapa. Mana ibu bapa aku? Hahaha..Itu masalah besar!

Kalaulah mama aku ada,mesti esok dia ada. Malam ni mesti dia dah bising-bising suruh kemas barang. Suruh check berus gigi ada tak. Kain pelikat bawak tak. Kopiah jaangan lupa. Ubat gigi ada tak. Ada tinggal apa-apa tak. Mesti rumah tengah riuh rendah sekarang. Adik beradik mesti berkumpul kat rumah sebab mama ada. Bestnyaaa…

Aku sedang menaip sorang-sorang kat rumah. tak ada sapa kat rumah. Abah kat perlis. Mama kat alam sana. Kakak-kakak kat rumah masing-masing. Baju bersepah lagi. Semua tak prepare lagi. Rasa macam tak seronok pulak nak pergi esok. Mana semua orang?? Esok aku nak masuk belajar dah! Mana semua orang? sekurang-kurangnya bagi mama ada kat sisi,sekurang-kurang2nya…

Ya Allah.. Kuatkan aku..

Gambaran hari esok telah bermain dalam fikiran aku sejak bertahun-tahun dulu. Gambaran mama abah hantar aku masuk belajar. Sambung dalam bidang perubatan. Dan mereka memeluk aku. Mereka tersenyum gembira melihat aku bakal menyambung pelajaran. Siapa tak gembira kan? Mereka pasti gembira! Aku lagi puas hati sebab dapat buat mereka gembira..

Hancurrr…

semua gambaran tu hancur!

Tidak ada lagi pelukan seorang ibu saat hari pertama itu. Tiada lagi senyuman mama abah. Tiada lagi mereka. Hanya aku sahaja melangkah sorang-sorang. Tidak diiringi oleh mereka. Mama jauhhhhh di sana. Abah jauhhh di perlis.

Macam mana aku nak tinggalkan malaysia bulan 9 ni? Aku dah bayangkan suasana airport ketika itu. Mama orang yang akan aku peluk erat-erat. Rupanya pelukan itu sudah tidak mampu dilakukan. pelukan terakhir ialah ketika sebelum jenazah ditutup wajahnya ketika di kafankan..

Ok cukup.cukup. Bersyukur dengan apa yang ada!!

Semoga aku tabah di hari esok.Ameenn..